Saturday, May 28, 2011

Kesihatan Dan Kecantikan Untuk Wanita 30-an

Kawal Pemakanan
Proses penuaan dapat dilambatkan jika mengamalkan pemakanan yang seimbang. Banyakkan makanan berserat tinggi, dan buah-buahan. Kurangkan makanan berlemak, minuman yang mengandungi banyak kafien, minuman ringan dan makanan ringan.

Guna Pelembap Yang Sesuai
Apabila umur menjangkau 30-an, keanjalan dan kelembapan kulit semakin kurang. Oleh itu, penggunaan krim pelembap sangat diperlukan. Carilah pelembap yang sesuai dengan kulit muka masing-masing. Haruslah diingatkan yang krim muka jenama popular dan mahal tidak semestinya sesuai dengan kulit muka pemakainya.

Cuba Elakkan Dari Pancaran Cahaya Matahari
Jangan biarkan muka anda terdedah kepada cahaya matahari dalam jangka masa yang panjang. Pendedahan yang lama bukan saja dapat menggelapkan kulit, ianya juga dapat mengurangkan kelembapan kulit yang membawa kepada kekeringan.

Sentiasa Bersenam
Bersenam mampu meningkatkan keupayaan dan kesihatan. Pastikan melakukan senaman ringan setiap hari selepas bangun tidur. Kalau ada masa lakukan senaman sekurang-kurangnya 3 kali seminggu.

Minum Banyak Air
Kekeringan dan gejala penuaan boleh diperlambatkan dengan meminum banyak air. Ini kerana air adalah aset penting untuk kesihatan tubuh badan terutamanya kulit muka. Kekurangan jumlah air dalam badan boleh menyebabkan badan mudah diserang pelbagai penyakit. Selain itu, air penting untuk proses penghadaman dan penyingkiran toksin dalam tubuh badan.

Makanan Tambahan
Pengambilan vitamin adalah amat digalakkan. Kesibukan dengan tugasan di pejabat dan di rumah menyebabkan wanita jarang mengamalkan pemakanan seimbang. Jadi pengambilan vitamin dapat membantu menyelesaikannya.

Elakkan Bermekap Tebal
Seelok-eloknya menggunakan mekap yang nipis dan bersederhana. Cuba elakkan dari menggunakan foundation yang tebal serta lipstik yang merah menyala. Ianya akan menampakkan wanita itu lebih tua dan garang.

Positif, Ceria dan Selalu Bersama yang Tersayang
Wanita 30-an mestilah mengamalkan sikap yang positif, sentiasa ceria dan selalu bersama yang tersayang. Kehadiran orang-orang tersayang di sekeliling dapat membantu wanita membina keyakinan diri dan menghilangkan stress.

* Sumber dari BH1klassifieds, Isnin 9 Mei 2011